
PROGRAM PEMENTORAN MENERAP ELEMEN PSIKOLOGI SECARA PROFESIONAL
ALOR SETAR – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan Pementoran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2026 yang telah disempurnakan oleh Setiausaha BPSM, Sharhida Nazuha Saad.
Menurut Sharhida, saya difahamkan seramai 26 orang mentor dan menti telah mengambil bahagian pada tahun ini melibatkan wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Negeri.
”Program pementoran selama enam bulan ini telah bermula bulan Mei 2026 hingga Oktober 2026 dan saya berharap agar semua mentor dan menti dapat memberi komitmen serta kerjasama yang padu selama program ini berlangsung.
”Punca kuasa program ini adalah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Pengurusan Psikologi 1.0 Tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dimana semua kementerian dan jabatan perlu melaksanakan program pementoran bagi membentuk dan memperkembangkan keupayaan pegawai dengan menerapkan elemen psikologi secara profesional diberikan kepada mentor dan menti.
”Objektif utama program ini adalah untuk membimbing pegawai ke arah prestasi tinggi, meningkatkan kemahiran aspek profesional dan sosial budaya kerja kelas pertama, membina keperibadian yang tinggi di kalangan warga organisasi, menerapkan amalan pembelajaran berterusan dan meningkatkan imej serta reputasi pegawai dan organisasi.
”Oleh yang demikian, menti perlu rajin bertanya kepada mentor sepanjang program ini berjalan kerana mentor mempunyai ilmu pengetahuan serta pengalaman yang tiada dalam buku atau teori tetapi berdasarkan kepada kepakaran yang dimiliki oleh seseorang mentor itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan Pementoran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2026 di Dewan Jamuan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan) BPSM, Mohd Tarmizi Saad; Pegawai Psikologi BPSM, Mohd Hanizam Mansor dan Pegawai Tadbir (SPPNK), Muhammad Azim Zainal.
Dalam perkembangan sama, Sharhida berkata pihak BPSM dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah akan mengembangkan lagi program ini pada masa akan datang dengan menambahkan bilangan peserta memandangkan kita mempunyai lebih daripada 40 jabatan.
”Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dalam menyahut cabaran ini dengan meletakkan diri sebagai mentor serta menti dan dapat menyempurnakan tugasan ini sehingga penghujung program,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed