
TMB100 DAN TOUR GEO D’KEDAH 2026 MENDAPAT SAMBUTAN PESERTA DALAM DAN LUAR NEGARA
ALOR SETAR – Daerah Baling bakal sekali lagi menjadi tumpuan peminat sukan dan pelancongan menerusi penganjuran dua acara ikonik, The Magnificent Baling (TMB100) 2026 yang akan berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos 2026, diikuti Tour Geo D’ Kedah 2026 pada 2 hingga 6 September 2026.
Kedua-dua acara ini dijangka menghimpunkan lebih 4,600 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Baling sebagai antara destinasi utama pelancongan sukan (sports tourism) di Malaysia.
Memasuki edisi keempat penganjurannya, TMB100 2026 terus mencipta sejarah apabila merekodkan 4,109 penyertaan, iaitu jumlah tertinggi sejak acara ini diperkenalkan. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus berbanding edisi tahun lalu, sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan komuniti larian denai terhadap kualiti penganjuran serta keunikan laluan yang ditawarkan di Baling.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata Baling sememangnya unik dengan keistimewaannya tersendiri dengan keindahan alam semulajadi. Bentuk muka bumi, keunikan geologi, budaya, kehidupan dan juga sejarahnya telah menjadi sebahagian daripada identiti daerah ini dan jugak mewarnai negeri Kedah secara umumnya.
”Jadi di sinilah istimewanya ada TMB100 ini ianya bukan sekadar mempromosikan keindahan visual dan juga keunikan cerita tentang Baling tetapi juga para peserta akan dibawa atau menikmati pengalaman yang disediakan di sebalik keindahan dan keunikan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sidang Media Penganjuran Program-Program Sempena Tahun Melawat Kedah Magnificient Baling 2026 di Bilik Jamuan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan Kos & Sara Hidup Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya; Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman; Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kedah, Azura Sarbin; Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar; Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kedah, Dato’ Wira Amiruddin Hamzah dan Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Encik Mohd Bukhari Ismail.
Dalam perkembangan sama, Salleh berkata saya difahamkan setiap perlumbaan ini para peserta dibawa merentasi landskap yang berbeza dan pada edisi baling ini saya percaya para peserta khususnya akan mengenali daerah ini dengan lebih dekat.
”Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin menyeru kepada seluruh warga Baling untuk bersedia memberi layanan terbaik kepada tetamu tetamu kita tidak kira sama ada kepada para peserta, penonton, pelancong mahu pun pelawat walau dengan sekadar sapaan mesra ataupun sekuntum senyuman,” ujarnya.
Sebagai kesinambungan kepada kalendar pelancongan sukan Baling, Tour Geo D’ Kedah 2026 akan berlangsung dari 2 hingga 6 September 2026 yang dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Negeri Kedah Darul Aman.
Kejohanan ini dijangka menghimpunkan 500 pelumba yang akan bersaing dalam kategori Lelaki Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Lelaki Bawah 15 Tahun bagi kategori pembangunan.
Sumber: Warta Kedah



Comments are closed