
SULTAN KEDAH BERKENAN BERANGKAT HADIR KE MAJLIS BACAAN YASIN DAN DOA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-69
KHAMIS (27.08.2026)
ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat hadir ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026M/1448H di Masjid Zahir di sini, hari ini.
Majlis dimulakan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad dan diteruskan dengan bacaan Yasin bersama-sama jemaah kira-kira 400 orang dari pelbagai peringkat umur serta diakhiri dengan solat fardhu Isyak.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Mohamad Subhi Abdullah.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed