
JAJARAN JALAN BAHARU ICQS BUKIT KAYU HITAM–CIQ SADAO TINGKAT KELANCARAN RENTAS SEMPADAN
BUKIT KAYU HITAM – Jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand telah dirasmikan hari ini dalam satu majlis yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mempertingkat kelancaran pergerakan rentas sempadan.
Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam Kedah ke CIQ SADAO, Thailand di ICQS Bukit Kayu Hitam telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, H.E. Mr. Anutin Charnvirakul.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Barisan Menteri serta Pegawai Kanan Kerajaan Malaysia dan Thailand.
Majlis dimulakan dengan Mesyuarat Pra-Majlis (Pre-Council) melibatkan kedua-dua delegasi. Perdana Menteri Malaysia kemudiannya bergerak ke pintu masuk sempadan bagi menyambut ketibaan delegasi Thailand.
Acara diteruskan dengan ucapan oleh kedua-dua pemimpin yang menekankan kepentingan kerjasama strategik Malaysia-Thailand, khususnya dalam mempertingkatkan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kesalinghubungan rentas sempadan.
Anwar berkata dalam perbincangan semalam, kita bersetuju untuk melangkaui hubungan diplomatik biasa dengan mewujudkan Zon Ekonomi Khas Sempadan yang merangkumi utara Malaysia dan Selatan Thailand bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
”Kita turut menegaskan semula sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang tahun 2027 dan kita perlu melakukan lebih banyak usaha. Oleh itu, isu-isu berkaitan kastam, imigresen, perdagangan makanan laut serta perdagangan rentas sempadan telah dipersetujui untuk diselesaikan secepat mungkin. Ini akan memberikan kehidupan dan sumber pendapatan yang lebih baik kepada para peniaga serta komuniti perniagaan kita.
”Kita telah membuktikannya melalui kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang kini mencatat nilai perdagangan melebihi RM77 bilion. Saya kekal optimis bahawa dengan komitmen kerajaan Thailand dan Malaysia, kita mampu mencapai lebih banyak kejayaan.
”Tiada sebab lori-lori perlu menunggu berjam-jam di pusat pemeriksaan atau berdepan kelewatan yang tidak munasabah. Oleh itu, kita perlu mempercepatkan proses pelepasan di sempadan dan mengurangkan kos, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video mengenai pembangunan jajaran jalan baharu ini yang dijangka meningkatkan kecekapan urusan di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam ke Sadao sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.
Sumber: Warta Kedah
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed