
KEKAL KAWASAN PADI DAN TADAHAN AIR : KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU BERI INSENTIF KEWANGAN KEPADA KERAJAAN NEGERI – SULTAN KEDAH

ALOR SETAR (13.04.2026) – Negeri Kedah terkenal dengan nama jolokan Jelapang Padi Negara. Sejajar dengan itu, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan keterjaminan bekalan beras negara terus terpelihara.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi 5 kali dalam tempoh 2 tahun di kawasan jelapang padi.
”Beta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur bagi tujuan tersebut.
“Agensi pembangunan dan penyelidikan seperti MADA dan MARDI perlu lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi yang lebih bermutu tinggi, penggunaan jentera dan teknologi moden, serta turut juga memperkasakan penggunaan Internet of Things yang mampu meningkatkan produktiviti sektor ini.
”Dalam masa yang sama, Beta juga menyarankan agar skim penanaman padi secara estet perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti hasil padi dan pendapatan petani yang lebih mampan.
”Walau bagaimanapun, pengorbanan negeri Beta dalam mengekalkan 119 ribu hektar kawasan padi dan 160 ribu hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda ini wajar disusuli dengan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah,” titah Tuanku.
Tuanku bertitah demikian dalam Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; ADUN-ADUN Negeri Kedah; Pegawai-pegawai Tertinggi Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Tuanku bertitah dalam berhadapan dengan keadaan cuaca panas di mana kadar takungan empangan berada pada paras kritikal, Kerajaan Beta hendaklah mengambil pendirian yang lebih tegas, proaktif dan memelihara kawasan tadahan air termasuk memantau aktiviti-aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air.
”Seiring dengan itu, Beta menegaskan bahawa kelangsungan sektor pertanian, perindustrian dan keperluan domestik amat berkait rapat dengan kestabilan sumber air, khususnya daripada kawasan hutan tadahan.
“Walaubagaimanapun, fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau yang berlaku ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan, amalan pertanian yang lebih berdaya tahan, serta menambah baik pelan mitigasi risiko bencana secara lebih serius perlu dilaksanakan,” ujar Tuanku.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed