
PELUPUSAN DENDA LEWAT BAYAR CUKAI TANAH DIANGGARKAN BERJUMLAH RM49 JUTA – SANUSI

ALOR SETAR (14.04.2026) – Negeri Kedah akan melaksanakan pelupusan denda lewat bayar cukai tanah yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelupusan denda lewat bayar cukai tanah pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM49 juta sekiranya keseluruhan tunggakan cukai tanah dapat dikutip.
”Jumlah maksima masa pemilik yang gagal membayar cukai tanah mereka adalah di antara satu hingga tiga tahun sebelum tindakan penguatkuasaan diambil oleh Pejabat Tanah.
“Berdasarkan data 31 Disember 2025, terdapat 40 hak milik yang telah dilucutkan hak dengan jumlah tunggakan bernilai RM909,963.12,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Tokai, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman berkenaan melaksanakan pelupusan denda lewat bayar cukai tanah pada tahun ini di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam soalan tambahan oleh ADUN Tokai berkenaan negeri Kedah tidak mendapat kebenaran semakan semula cukai tanah setiap 10 tahun yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini, Sanusi berkata Kanun Tanah Negara memperuntukan di bawah Seksyen 101 iaitu setiap 10 tahun Kerajaan-kerajaan Negeri boleh membuat semakan dan semakan ini akan melibatkan bukan saja kenaikan tetapi juga penurunan cukai tanah.
“Kita mengambil masa yang agak panjang kerana semakan terakhir yang dibuat pada 2016 dan tahun ini sepatutnya dilaksanakan. Kita telah menubuhkan di Pajabat Tanah dan Galian (PTG), pasukan khas sejak tahun 2024 lagi dengan peruntukan khusus untuk menyemak lebih 800 ribu hak milik untuk disesuaikan berkenaan kehendak dan prosedur di bawah Kanun Tanah Negara (KTN).
”Apabila semua semakan dibuat, terutamanya sekali perbandingan cukai tanah kita dengan negeri-negeri lain dengan kategori yang sama, terdapat negeri yang cukainya lebih tinggi dan lebih rendah dari negeri Kedah.
“Selepas setahun lebih dibuat semakan dengan peruntukan lebih kurang RM2 juta, maka PTG membuka satu cadangan semakan dan perbandingan dengan justifikasi yang munasabah kepada pihak kerajaan satu kadar baru yang akan dikuatkuasakan tetapi prosedurnya mesti di bawa ke Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“MTN sehingga kini tidak mengeluarkan keputusan dan Kerajaan Negeri tidak dapat melaksanakan cukai baru yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini dan kita telah kehilangan RM120 juta dimana jumlah ini sangat besar bagi negeri yang dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada perbelanjaan negeri.
“Saya berharap keputusan itu dapat disegerakan tahun ini memandangkan titah Tuanku Sultan Kedah juga berkaitan isu ini. Isu ini sangat besar kerana berkaitan perlembagaan dan bukannya dasar kerajaan.
”Saya berharap MOF dan MTN dapat ambil perhatian terhadap isu ini untuk membenarkan semakan dikuatkuasakan pada tahun hadapan walaupun kita telah kerugian RM120 juta yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed