
HARI RAYA AIDILADHA 1447H DISAMBUT PADA 27 MEI 2026
ALOR SETAR – Umat Islam di Malaysia akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei 2026 bersamaan 10 Zulhijjah 1447H.
Juru Ukur Daerah Kedah Utara, Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Kedah, Sr Siti Nurbaiduri Mohd Yusof berkata cerapan ini bertujuan memaklumkan kepada Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Kedah mengenai analisis data astronomi bagi perihal kewujudan hilal sewaktu terbenam matahari pada tarikh rukyah untuk menetapkan tarikh awal bulan Zulhijjah 1447H di Malaysia.
”Cerapan Hilal Zulhijjah berlaku sejurus terbenamnya matahari di ufuk di ketiga-tiga tempat stesen cerapan negeri Kedah iaitu Menara Alor Setar, Pemandangan Indah Langkawi dan Pulau Sayak untuk melihat kemungkinan atau kebarangkalian terlihatnya anak bulan.
”Kriteria Ketetapan Imkanur-Rukyah (KIR) Baharu yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mulai 1 Muharam 1444H adalah penambahbaikan kepada KIR sedia ada serta dinilai daripada perspektif syariah dan sains iaitu ketika Matahari terbenam, ketinggian Anak Bulan tidak kurang 3 darjah dari ufuk dan jarak lengkung (sudut elongasi) Bulan ke Matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.
”Di Malaysia, anak bulan ditentukan berdasarkan kaedah Rukyah iaitu dilaksanakan pada 29 hari bulan setiap bulan Hijrah dengan menggunakan peralatan teleskop dan total stesen serta kaedah Hisab Falak dimana Data Rukyah Hilal dijana dari Perisian Astronomical Information System (AIM) bagi semua stesen cerapan dan diedarkan dari Bahagian Ukur Geodetik (BUG), JUPEM Ibu Pejabat ke JUPEM Negeri. Data-data tersebut kemudian dianalisis dari sudut Kriteria Imkanur Rukyah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Penetapan Awal atau Majlis Cerapan Hilal Rasmi Anak Bulan Zulhijjah 1447H di Stesen Cerapan Menara Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Pengarah JUPEM Negeri Kedah, LSr Muhammad Zikri Mat Isa; Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin; wakil Pengarah JHEAIK, Syeikh Mohd Fairuz Mohammad dan Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Kedah, Syeikh Mohd Ashraf Mohsin.
Anak Bulan Zulhijjah 1447H di ketiga-tiga stesen di negeri Kedah tidak kelihatan memandangkan cuaca mendung dan dilitupi awan tebal.
Mufti Negeri Kedah selaku ketua pelapor bagi ketiga-tiga tempat cerapan di negeri Kedah menyampaikan segala maklumat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di Kuala Lumpur dan apabila mereka menerima maklumat dari semua 29 tempat cerapan di seluruh negara maka akan diisytiharkan tarikh 1 Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha.
Dalam pada itu, pengumuman 1 Zulhijjah 1447H telah diumumkan oleh Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jalaludin iaitu pada 18 Mei 2026 maka Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) jatuh pada Hari Rabu (27 Mei 2026).
Sumber: Warta Kedah
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed