
SULTAN KEDAH RAI 99 PELAJAR MAKTAB MAHMUD YANG CEMERLANG DALAM SPM 2025
ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini telah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin 2026 anjuran Lembaga Maktab Mahmud bagi meraikan para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan tahun 2025.
Baginda dalam titahnya menzahirkan kegembiraan kerana majlis yang diadakan pada hari ini berlangsung dalam suasana yang meriah bagi meraikan semua pelajar yang telah berjaya serta memperoleh kejayaan yang cemerlang sama ada dalam bidang Kurikulum dan Ko-kurikulum untuk tahun 2025 yang lalu.
”Beta mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas, daripada fungsi tradisionalnya. Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif, serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
”Para pelajar merupakan tiang negara, dan bakal memimpin negara pada masa hadapan kerana pepatah ada menyatakan “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. Oleh hal yang demikian, pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai, malahan pembangunan dan perkembangan dalam aspek keperibadian juga hendaklah diberi perhatian yang sama berat.
”Peranan guru dalam usaha melaksanakan dasar pendidikan negara, sememangnya tidak dapat dinafikan. Guru merupakan agen penting dalam membentuk generasi yang memahami dan menghayati Rukun Negara. Melalui pengajaran, teladan dan aktiviti yang sesuai, guru dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu, berakhlak mulia dan cintakan negara.
”Guru haruslah mempunyai kompetensi tertentu untuk mengembangkan kemahiran, bakat, potensi dan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bentuk. Pencapaian pelajar menjadi ukuran kepada keberhasilan proses pembelajaran yang dialami pelajar dalam kelas,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah Darul Aman di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah; Timbalan Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Pengarah Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah, Jusrianuar Jamarudin.
Dalam perkembangan sama, Baginda berkata pengajaran dan pembelajaran yang bermakna, sangat membantu pelajar meningkatkan minat serta motivasi mereka untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Bagi mencapai aspirasi pendidikan negara, keberhasilan guru menjadi salah satu anjakan transformasi terkini.
”Beta mendoakan agar Maktab Mahmud Negeri Kedah dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman akan terus unggul sebagai institusi pendidikan agama yang berprestasi tinggi di Malaysia,” ujar Baginda.
Keputusan SPM 2025 telah melakar kejayaan dan kecemerlangan yang membanggakan bagi Lembaga Maktab Mahmud dengan dua pelajar mendapat keputusan 11A+, masing-masing dari Maktab Mahmud Alor Setar dan seorang pelajar lagi dari Maktab Mahmud Langkawi. Majlis ini turut meraikan seramai 99 pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2025.
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed