
1,500 PENGUNJUNG MERIAHKAN ALOR SETAR CFS EDISI JUN 2026
ALOR SETAR – Program Alor Setar Car Free Saturday (CFS) Edisi Jun 2026 bertemakan Green Heritage Day yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang menyokong gaya hidup sihat dan kelestarian alam sekitar.
Program tersebut diserikan lagi dengan keberangkatan hadir Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff di Dataran Medan Bandar di sini, hari ini.
Tunku berdua berkenan menyertai kayuhan santai bersama peserta dalam acara Jom Kayuh Gerek sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan penggunaan pengangkutan mesra alam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Seramai kira-kira 1,500 peserta hadir memeriahkan program CFS tersebut dan para pengunjung turut berpeluang mengunjungi pelbagai pameran rakan kolaborasi MBAS serta gerai jualan.
Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya persembahan Pasukan Pancaragam Sekolah Kebangsaan Taman Uda, zumba, Alor Setar Heritage Run sejauh 5 kilometer dan Eco Briskwalk sejauh 2.6 kilometer.
Penganjuran program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, menggalakkan penggunaan pengangkutan hijau serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara warisan dan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Program Alor Setar CFS akan diteruskan setiap bulan yang dijadualkan berlangsung pada minggu pertama setiap hari Sabtu bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menyertai pelbagai aktiviti riadah, komuniti, warisan dan kelestarian alam sekitar yang disediakan.




Comments are closed