
100 ASNAF TERIMA AGIHAN DAGING KORBAN DAN WANG TUNAI BAITULMAL MAIK
PENDANG – Ibadah korban merupakan syiar Islam yang sangat besar maknanya. Ia bukan sekadar penyembelihan haiwan, bahkan melambangkan ketaatan dan pengorbanan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. Melalui ibadah korban, kita dididik untuk mengikhlaskan harta, menzahirkan rasa Syukur kepada Allah S.W.T. serta berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.
Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata dalam kehidupan hari ini, tidak dinafikan masih ramai saudara–saudara kita yang berdepan dengan cabaran ekonomi, peningkatan kos sara hidup, masalah pekerjaan dan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas keluarga. Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berjimat untuk menyediakan makanan harian, menanggung persekolahan anak–anak dan membayar kos rawatan kesihatan.
”Seramai 100 orang penerima yang dipilih oleh pihak masjid untuk menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM400.00 setiap seorang berserta agihan daging korban sebagai tanda keperihatinan dan semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan dalam kariah ini.
”Untuk makluman, tahun ini merupakan tahun ke 13 pelaksanaan ibadah korban oleh pihak Baitulmal MAIK. Usaha yang berterusan ini bukan sahaja memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, malah menjadi satu kenangan yang cukup bermakna, khususnya buat para penerima sumbangan yang diraikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Daging Korban Dan Sumbangan Baitulmal Tahun 1447H/2026M di Masjid Al Hasaniah Kampung Bendang Bukit, Mukim Rambai, Pendang di sini, hari ini.
Hadir sama Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Timbalan Speaker DUN Kedah merangkap ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Penghulu Mukim Ayer Puteh wakil kepada Pegawai Daerah Pendang, Azmi Dollah dan Pegawai Agama Daerah Padang Terap pemangku kepada Pegawai Agama Daerah Pendang, Syeikh Mohd Sayuti Abdullah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MAIK sentiasa komited dalam memperkasakan agenda kebajikan dan pembangunan ekonomi umat Islam di negeri ini. Selain menguruskan bantuan kepada golongan yang layak, MAIK juga menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat seperti kutipan fidyah, infaq fisabilillah serta pengurusan wang dan harta tidak patuh syariah.
”Dana–dana yang disalurkan oleh masyarakat ini akan diuruskan secara amanah dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk fakir miskin, ibu bapa tunggal, warga emas dan pesakit kronik. Inilah antara usaha berterusan Baitulmal MAIK dalam memastikan kesejahteraan sosial dan peningkatan ekonomi umat Islam dapat diperkasakan secara menyeluruh.
”Justeru itu, marilah kita bersama–sama menyuburkan budaya memberi, berkongsi rezeki dan berinfak sebagi amalan mulia yang sentiasa mekar dalam kehidupan masyarakat tanpa mengira waktu dan keadaan. Semoga setiap amal kebajikan yang dilaksanakan ini menjadi saham akhirat yang berkekalan dan diterima sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. serta terus memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan semangat kebersamaan di kalangan masyarakat.
”Akhir kalam, saya ingin mengajak diri saya dan semua yang hadir agar sentiasa menghayati nilai penyerahan diri kepada Allah S.W.T., menanam sifat ikhlas dalam setiap amal ibadah yang dilaksanakan, semata-mata demi mengharapkan keredaan dan rahmat daripada Allah S.W.T.,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed